Total Pageviews

Wednesday 22 June 2011

HADITH MAUDHU' (Siri 3)

NUKILAN :
Abu Islam Fathul Bari & Ummu Islam Siti Aisyah



KAEDAH MENGENALI HADITH MAUDHU'

Pakar-pakar hadith telah meletakkan pelbagai kaedah untuk mengenali hadith maudhu', antaranya ; Ibnu Al-Jauzi (w.597H) telah berkata : " Jika kamu melihat sesuatu hadith yang menyanggahi akal, menyelisihi manqul (nash-nash Al-Quran atau hadith yang shahih), dan bertentangan dengan usul (usul-usul dalam agama seperti masalah aqidah), maka ketahuilah bahawa itu adalah hadith maudhu' ".[1]

Begitu juga kata-kata As-Suyuthi (w.911H) : " Juga merupakan daripada kaedah adalah ; perawi yang rafidhi (syi'ah) meriwayatkan hadith tentang kelebihan Ahlul Bayt ".[2]

Berdasarkan dua kaedah di atas dan selain dari keduanya, dapat kita simpulkan bahawa keseluruhan kaedah-kaedah yang telah digariskan oleh ulama' merujuk kepada 2 kaedah utama iaitu [3] :

1.      Kaedah yang merujuk kepada perawi
2.      Kaedah yang merujuk kepada riwayat

1. Kaedah yang merujuk kepada perawi

i.    Perawi mengakui memalsukan hadith

Seperti golongan yang memalsukan hadith-hadith yang berkaitan dengan kelebihan surah-surah Al-Quran. Antaranya Nuh bin Maryam dan Maisarah .

Nuh apabila ditanya mengenai hadith yang dikatakan diriwayat oleh Malik daripada ‘Ikrimah, daripada Ibn ‘Abbas mengenai fadhail Al-Quran, surah demi surah, sedangkan murid-murid ‘Ikrimah tidak meriwayatkannya, beliau berkata : " Saya melihat orang ramai meninggalkan Al-Quran dan tertumpu kepada Fiqh Abu Hanifah dan Maghazi Ibn Ishaq, lalu saya ciptalah hadith tersebut ". [4]

ii.   Terdapat qarinah (bukti) yang menunjukkan perawi berbohong

-          Riwayatnya berkaitan dengan kepentingan peribadi : Seperti kisah Sa’ad bin Thorif Al-Iskaf yang lalu. Oleh kerana anaknya dipukul oleh guru, maka dia mereka hadith tentang keburukan guru.

-          Riwayatnya bercanggah dengan ilmu Tarikh Al-Ruwah [5] :  Seperti Ma'mun bin Ahmad As-Sulami Al-Harawi. Beliau mendakwa telah meriwayatkan hadith dari Hisyam bin 'Ammar. Ibnu Hibban (w.354H) bertanya beliau : " Bilakan engkau masuk ke Syam (tempat tinggal Hisyam) ? Beliau menjawab : 250H. Ibnu Hibban berkata : Hisyam yang engkau riwayatkan darinya telah mati pada tahun 246H "[6]. Daripada kisah ini, kita dapati bahawa Ma'mun tidak pernah bertemu dengan hisyam. Jadi mana mungkin beliau meriwayatkan hadith darinya. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Ibnu Hibban (w.354H) menggelar beliau sebagai Dajjal ! Manakala Abu Nu'aim (w.430H) menyatakan, bahawa beliau layak menerima laknat dari Allah, Rasul, dan umat Islam [7].

iii.  Perawi merupakan seorang yang Ahlul Ahwa', zindiq atau fanatik mazhab.

Contohnya : Golongan syi'ah rafidhah (celakalah mereka) yang meriwayatkan hadith tentang kelebihan Ahli Bayt [8]. Mereka juga meriwayatkan hadith-hadith tentang keburukan Abu Bakr t serta 'Umar t.

Juga Golongan yang fanatik mazhab As-Syafi'e meriwayatkan hadith tentang kelebihan As-Syafi'e, serta keburukan mazhab Abi Hanifah. Ini kerana pertembungan antara golongan fanatik kedua-dua mazhab amat tegang.

Jadi tidak mustahil, akibat terdorong dengan hawa nafsu, mereka sanggup memalsukan hadith demi mengukuhkan mazhab atau pandangan masing-masing serta memburuk-burukkan lawan mereka.

Selain itu, golongan-golongan yang amat membenci Islam juga memainkan peranan mereka mencipta hadith-hadith palsu demi memesongkan aqidah umat Islam. Contohnya hadith :

( إِنَّ اللهَ خَلَقَ الخَيلِ فَأَجْرَاهَا، فَعَرَقَتْ ثُمَّ خَلَقَ نَفْسَهَ مِنْهَا )

Maksudnya : " Sesungguhnya Allah mencipta kuda, dan membuatkan kuda tersebut berlari, maka kuda itu berpeluh, dan Dia (Allah) menciptakan dirinya dari peluh itu (Maha suci Allah daripada pembohongan ini) ".[9]

As-Suyuthi (w.911H) selepas mendatangkan riwayat ini, menyebut : " Hadith ini tidaklah dipalsukan oleh seorang muslim, juga orang yang berakal, dan tertuduh yang merekanya adalah Muhammad bin Syuja' ; beliau telah menyimpang dari agamanya, dan di dalamnya (sanad) terdapat Abu Al-Mihzam ; Kata Syu'bah (w.160H) : Aku melihat beliau (Abu Al-Mihzam), jika diberi satu dirham, beliau akan memalsukan 50 hadith ".[10]
           
2. Kaedah yang merujuk kepada riwayat

i.        Riwayat yang lemah serta buruk maknanya atau struktur bahasanya atau kedua-duanya sekali

Yang dimaksudnya dengan lemah serta buruk makna atau lafaz riwayat tersebut, adalah sukar difahami dan dapat dirasai bahawa mustahil perkataan tersebut daripada Nabi r. Ini kerana Al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi r adalah seindah-indah bahasa, samada dari sudut susunannya, kekuatan struktur bahasanya, maupun ketinggian maknanya, atau dengan kata lain, tiada perkataan yang dapat menandingi Al-Quran. Oleh kerana Nabi r terdidik dengan bahasa Al-Quran, maka Baginda r adalah sefasih-fasih makhluk. Jadi, sudah tentu perkataan Nabi r bebas daripada kekaburan, jelas maksudnya dan kukuh serta indah struktur bahasanya. Contoh riwayat yang buruk maknanya :

( أَرْبَعٌ لا تَشْبَع مِنْ أَرْبَع : أُنْثَى مِنْ ذَكَرٍ، وَ أَرْض مِن مَطَر، و عَيْنٌ من نَظَر، وَ أُذُنٌ مِن خَبَرٍ )

Maksudnya : " 4 perkara tidak akan puas dari 4 : Perempuan dari lelaki, bumi dari hujan, mata dari melihat, dan telinga dari mendengar ".[11]

Boleh dimaksudkan juga dengan kelemahan maknanya, adalah riwayat yang keterlaluan dalam membesarkan perkara-perkara yang kecil. Seperti riwayat tentang kelebihan amalan tertentu. Antaranya :


Maksudnya : " Sesiapa yang telah membaca selepas wudhunya, [Al-Qadr : 1] sekali, maka dia adalah di kalangan orang-orang yang benar, dan sesiapa yang membacanya 2 kali, maka dia telah termasuk dalam senarai syuhada', dan barang siapa yang membacanya 3 kali, Allah akan mengumpulnya bersama para Nabi ".[12]

Jika diteliti, ganjaran pahala yang dijanjikan di dalam riwayat di atas amat keterlaluan. Mana mungkin amalan yang begitu kecil ; hanya dengan membaca ayat pertama dari surah Al-Qadr selepas wudhu, boleh disamakan dengan ganjaran pahala syuhada ? Apatah lagi dikumpulkan dengan para Nabi. Sudah tentu perkara seperti ini mustahil. Jika benar, sudah tentu manusia akan lalai. Islam benci kepada kelalaian.

Riwayat-riwayat sebegini hanya dapat dirasai kepalsuannya oleh ulama'-ulama' yang sentiasa mendampingi serta mengkaji kedudukan hadith-hadith Nabi r. Benarlah kata-kata Al-Buqa'ie (w.885H) : " Bukan semua manusia dapat merasainya, sebaliknya hanya mereka-mereka yang banyak bercampur dengan tutur kata Nabi, serta kukuh ilmu sanadnya, juga sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengkaji ilmu syara', dan mengetahui hadith-hadith yang diterima dari hadith-hadith yang ditolak, dan bukanlah ilmu ini dianugerahkan kepada semua penuntut ilmu ".[13]

Yang dimaksudkan dengan "merasai kepalsuannya" : Berkata Ar-Rabi' bin Khuthaim (w.63H) : Sesungguhnya, bagi sesuatu hadith itu cahaya, seterang cahaya pagi, kamu akan mengenalinya ; dan juga gelap seperti gelapnya malam, nescaya kamu mengingkarinya ". [14]

ii.   Riwayat bercanggah dengan akal

Perlu diingatkan bahawa di sana terdapat banyak riwayat yang bercanggah dengan akal seperti kisah isra' dan mi'raj dan lain-lain. Tetapi riwayat-riwayat tersebut telah dipastikan kesahihannya. Adapun maksud penyusun berkenaan dengan riwayat yang bercanggah dengan akal di sini, adalah riwayat yang tidak dapat dikenal pasti kesahihannya, kemudian menyanggahi akal yang sihat. Contohnya : Telah ditanya Abdurrahman bin Zaid bin Aslam[15], benarkah beliau meriwayatkan daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah r telah bersabda :

( أََنَّ سَفِيْنَةَ نُوْح طَافَتْ بِالبَيْتِ، وَصَلَّتْ خلْفَ المَقَامِ رَكْعَتَيْنِ ؟ قَالَ : نَعَم ! )

Maksudnya : " Sesungguhnya bahtera Nuh telah tawaf mengelilingi kaabah, dan bersolat di belakang maqam (Ibrahim) 2 rakaat ? Beliau (Abdurrahman bin Zaid bin Aslam) berkata : Benar ! ".[16]

Jika dilihat dari sudut sanad, hadith ini diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Zaid bin Aslam. Beliau dinilai dho'if oleh jumhur muhaddithin.[17]

Manakala dari sudut matan hadith tersebut, ternyata bercanggah dengan akal yang sihat. Mana mungkin bahtera Nuh bersolat dibelakang maqam Ibrahim sedangkan Nabi Ibrahim belum utuskan dan maqam Ibrahim belum wujud. Kemudian, bagaimanakan cara bahtera bersolat ? Akal yang sihat dapat menilainya.

iii.  Riwayat yang bercanggah dengan nash Al-Quran dan As-Sunnah

Seperti riwayat tentang umur dunia.

( وَ أَنَّهَا سَبْعَةُ آلاف سَنَة، وَ نَحْنُ فِي الأَلْفِ السَابِعَة )

Maksudnya : " Sesungguhnya umurnya 7000 tahun, dan kita berada di tahun seribu yang ke tujuh ".[18]

Ibn Al-Qayyim (w.751H), selepas mendatang riwayat ini, berkata : " Ini merupakan pembohongan yang amat jelas, kerana sekiranya benar, nescaya setiap orang akan mengetahui berapa lama lagi akan kiamat iaitu 51 tahun (perkiraan ini dihitung oleh Ibn Al-Qayyim hingga zamannya). Dan Allah I telah berfirman :

Maksudnya : " Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat : Bilakah terjadinya ? Katakanlah : Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku ; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba. Mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah : Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ". [Al-A'raf : 187].



           
Maksudnya : " Sesungguhnya hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat ". [Luqman : 34]

Sabda Rasulullah r :

( ولا يعلم متى تقوم الساعة إلا الله )

Maksudnya : " Tidaklah mengetahui akan bila berlakunya hari kiamat melainkan Allah ". [HR.Al-Bukhari : no.4420] [19].[20]

Maka jelaslah riwayat yang berkaitan dengan umur dunia kesemuanya adalah palsu kerana bercanggah dengan shorih nash Al-Quran dan hadith di atas. Wallahua'lam.

iv.  Riwayat yang bercanggah dengan keadaan sebenar

            Antaranya ;

( إِذَا عَطَسَ الرَّجُلُ عِنْدَ الحَدِيْثِ فَهُوَ دَلِيْلُ صِدْقِهِ )
           
Maksudnya : " Jika seseorang itu bersin ketika sedang bercakap, maka itu menunjukkan bahawa dia tidak menipu ".

Ibnu Al-Qayyim (w.751H) berkata : " Sekiranya hadith ini benar sanadnya (telah nyata bahawa tiada asalnya dari Nabi r), tetapi ia bercanggah dengan keadaan sebenar, kerana kita telah melihat bahawa berapa ramai orang yang bersin ketika bercakap telah berbohong. Maka, jika telah bersin 100 000 orang ketika meriwayatkan hadith, maka tidaklah dihukum benar riwayatnya, begitu juga saksi palsu yang bersin ketika memberi penyaksian, tidaklah diterima penyaksiannya ".[21]

v.   Riwayat yang telah nyata kebathilannya

Iaitu riwayat yang bercanggah dengan usul-usul Islam samada aqidah dan lain-lain. Tidak dapat diterima kebenarannya dan telah jelas kebathilannya.

Antaranya ; riwayat yang merendah-rendahkan kekuasaan Allah seperti :

( إِنَّ اللهَ خَلَقَ الخَيلِ فَأَجْرَاهَا، فَعَرَقَتْ ثُمَّ خَلَقَ نَفْسَهَ مِنْهَا )

Maksudnya : " Sesungguhnya Allah mencipta kuda, dan membuatkan kuda tersebut berlari, maka kuda itu berpeluh, dan Dia (Allah) menciptakan dirinya dari peluh itu (Maha suci Allah daripada pembohongan ini) ".[22]

Juga , riwayat yang  menimbulkan perpecahan manusia, seperti :

( إِذَا غَضِبَ اللهُ تعالى أَنْزَلَ الوَحْيَ بِالفَارِسِيَّةِ، وَ إِذَا رَضِيَ أَنْزَلَهُ بِالعَرَبِيَّةِ )

Maksudnya : " Apabila Allah murka, maka Dia akan menurunkan wahyu dalam bahasa Parsi, dan jika Dia redha, Dia akan menurunkan wahyu dalam bahasa Arab ".[23]

Hadith ini diriwayatkan oleh 'Umar bin Musa bin Wajih Al-Wajihi. Yahya bin Ma'in (w.232H) berkata : Beliau tidak dipercayai [24]. Al-Bukhari (w.256H) : Hadithnya munkar [25]. An-Nasa'ie (w.303H) : Hadithnya matruk  [26].

vi.  Riwayat yang mengandungi cerita atau kepercayaan karut

Terkadang, kita dapati sesetengah golongan yang ingin melariskan ceritanya, sanggup membawa kisah-kisah karut yang ternyata bercanggah dengan kisah-kisah dari Al-Quran dan As-Sunnah As-Shohihah.

Antaranya ; kisah yang menyatakan bahawa Nabi Khidir u masih hidup.[27]

( يَلْتَقِي الخَضِرُ وَ إِلْيَاس عَلَيْهِمَا السَّلام كُلَّ عَامٍ بِالمَوْسِمِ بِمِنَى، فَيَحْلِقُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا رَأْسَ صَاحِبِهِ، فَيَتَفَرَّقَان عَنْ هَؤُلاءِ الكَلِمَاتِ : بِسْمِ اللهِ مَا شَاءَ اللهُ لا يَسُوْقُ الخَيْرَ إِلا الله مَا شَاءَ اللهُ، لا يَصْرِفُ السُّوْءَ إِلا الله، مَا شَاءَ اللهُ مَا كَانَ مِنْ نِعْمَةٍ، فَمِنَ اللهِ، مَا شَاءَ اللهُ لا حَوْلَ ولا قُوَّةَ إِلا بِاللهِ . قَالَ ابنُ عَبَّاس t :  مَنْ قَالَهُنَّ حِيْنَ يَصْبَح وَ حِيْنَ يَمْسِي، أَمَّنَهُ اللهُ عَزَّ وَجَلّ مِن الغَرقِ وَ الحَرْقِ وَ السَّرقِ وَ أحسبه . قال : وَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَ السُّلْطَانِ وَ مِن الحَيَّةِ وَ العَقْرَبِ )

Maksudnya : " Berjumpa Khidir dan Ilyas setiap tahun pada musim tertentu di Mina, maka setiap dari keduanya mencukur kepala saudaranya yang lain, maka kedua mereka berpisah di atas kalimat : Dengan nama Allah , semua dengan kehendak Allah, tidaklah datang kebaikan kecuali dengan kehendak Allah, tidak berlalu keburukan itu kecuali dengan kehendak Allah, semua dengan kehendak Allah, dan tidalah suatu nikmat pun melainkan dari Allah, semua dengan kehendak Allah, tiada daya dan upaya melainkan dengan keizinan Allah. Ibnu Abbas ra berkata : Barang sesiapa yang membacanya diwaktu pagi dan petang, nescaya Allah akan menyelamatkannya dari banjir, kebakaran, kecurian. Dan berkata lagi : Juga dari syaitan, pemerintah (yang zalim), ular dan kala jengking ".[28]

Perawi hadith ini adalah Al-Hasan bin Ruzain . Beliau meriwayatkan hadith ini daripada Ibn Juraij (w.150H), seorang yang thiqah [29]. Ibn 'Adi (w.365H) berkata [30] : Beliau (Al-Hasan) meriwayatkan apa-apa yang tidak benar daripada Ibnu Juraij. Al-'Uqaili (w.322) berkata [31] : Beliau (Al-Hasan) majhul (tidak dikenali) dari sudut periwayatannya.



[1] Al-Maudhu'at, oleh Abdurrahman bin 'Ali bin Al-Jauzi (w.597H), (1/103).
[2] Tadrib Al-Rawi Fi Syarhi Taqrib An-Nawawi, oleh Jalaluddin As-Suyuthi (w.911H), ms.241
[3] Ibid, ms.240.
[4] Lihat : Tadrib Al-Rawi Fi Syarhi Taqrib An-Nawawi, oleh Jalaluddin As-Suyuthi (w.911H), ms. 246.
[5] Maksud ilmu Tarikh Al-Ruwah adalah : 'Ilmu mengenai sejarah perawi hadith, iaitu tentang latar belakang perawi ; tarikh lahir, tarikh kematiannya, tempat tinggalnya, pengembaraannya, negeri-negeri yang disinggahnya, guru-gurunya, murid-muridnya, serta pandangan sarjana Islam tentang beliau.
[6] Lihat : Lisanul Mizan, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (5/7).
[7] Lihat : Tarikh Madinah Dimashq, oleh Abu Al-Qasim 'Ali bin Al-Hasan, yang lebih dikenali dengan Ibnu 'Asakir (w.571H), (57/6), Percetakan Darul Fikr –Beirut-, 1415H, Pentahqiq : Muhibbuddin Al-'Amrawi.
[8] Ibid, ms.248.
[9] Al-Kamil Fi Dhu'afa Al-Rijal, oleh Abdullah bin 'Adi Abu Ahmad Al-Jurjani (w.365H), (6/291).
[10] Lihat : Tadrib Al-Rawi Fi Syarhi Taqrib An-Nawawi, oleh Jalaluddin As-Suyuthi (w.911H), ms. 242.
[11] Lihat : Al-Manar Al-Munif fi As-Shahih Wa Ad-Dho'if, oleh Ibn Al-Qayyim (w.751H), ms.99, Percetakan Kedua Maktab Al-Mathbu'at Al-Islamiyyah –Halab-, 1983M, Pentahqiq : Abdul Fattah Abu Ghuddah.
[12] Kanzul 'Ummal Fi Sunani Al-Aqwal Wal Af'al, oleh 'Ali bin Husamuddin Al-Hindi, (no.26090), Percetakan Muassasah Al-Risalah –Beirut-, 1989M.
[13] Dinaqalkan dari nota kaki kitab Syarh At-Tabshiroh Wa At-Tazdkirah, oleh Abu Al-Fadhl Zainuddin Al-'Iraqi (w.806H), (1/318), Percetakan Pertama, Darul Kutub Al-'Ilmiah –Beirut-, 2002M, Pentahqiq : Abdul Lathif Al-Humaim dan Mahir Yasin Fahl.
[14] Ibid.
[15] Al-Bukhari (w.256H) serta Abu Hatim (w.277H) menilai beliau dha'if. Berkata Al-Jaujazani (w.259H) : Anak-anak Zaid bin Aslam adalah dhu'afa'. Abu Nu'aim (w.430H) : Beliau menyandarkan kepada ayahnya hadith-hadith yang palsu. Lihat : Al-Tahzhibu Al-Tahzhib, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (6/161). Manakala ayah beliau Zaid bin Aslam (w.136H) merupakan seorang yang dipercayai. Lihat : Taqrib Al-Tahzhib, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), ms.350, no.2129.
[16] Al-Tahzhibu Al-Tahzhib, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (6/161).
[17] Telah dijelaskan biografi beliau dalam nota kaki (no.4) pada halaman yang lalu.
[18] Lihat : Al-Manar Al-Munif fi As-Shahih Wa Ad-Dho'if, oleh Ibn Al-Qayyim (w.751H), ms.80.
[19] al-Jami' al-Shahih al-Mukhtashor, oleh Muhammad bin Ismail al-Bukhari (w.256H) , (4/1733), Percetakan Ketiga, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987M-1407H, Pentahqiq : Dr. Musthafa al-Bugha. Selepas ini akan disebut dengan Shahih al-Bukhari.
[20] Lihat : Al-Manar Al-Munif fi As-Shahih Wa Ad-Dho'if, oleh Ibnu Al-Qayyim (w.751H), ms.80.
[21] Ibid, ms.51.
[22] Al-Kamil Fi Dhu'afa Al-Rijal, oleh Abdullah bin 'Adi Abu Ahmad Al-Jurjani (w.365H), (6/291). Telah dijelaskan kedudukan sanadnya.
[23] Ibid, (5/10). Ibn 'Adi (w.365H) menyebut : Hadith ini terlalu mungkar.
[24] Lihat : Lisanul Mizan, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (4/333).
[25] At-Tarikh Al-Kabir, oleh Muhammad bin Ismail al-Bukhari (w.256H), (6/197).
[26] Ad-Dhu'afa' Wa al-Matrukin, oleh Abu Abdurrahman Ahmad bin Syu'aib An-Nasai'e (w.303H), ms.82.
[27] Ibnu Al-Qayyim (w.751H) berkata : Semua riwayat yang menyatakan Nabi Khidir u masih hidup adalah bohong. Lihat : Al-Manar Al-Munif fi As-Shahih Wa Ad-Dho'if, oleh Ibnu Al-Qayyim (w.751H), ms.67. 
[28] Al-Kamil Fi Dhu'afa Al-Rijal, oleh Abdullah bin 'Adi Abu Ahmad Al-Jurjani (w.365H), (2/328).
[29] Beliau adalah Abdul Malik bin Abdul 'Aziz bin Juraij (w.150H), seorang yang dipercayai dan faqih, kadang-kadang melakukan tadlis dan mursal. Lihat : Taqrib Al-Tahzhib, oleh Ibn Hajar Al-'Asqalani (w.852H), ms.624, no.4221.
[30] Al-Kamil Fi Dhu'afa Al-Rijal, oleh Abdullah bin 'Adi Abu Ahmad Al-Jurjani (w.365H), (2/328).
[31] Al-Dhu'afa', oleh Abu Ja'far Muhammad bin 'Umar bin Musa Al-'Uqaili (w.322), (1/224).

No comments:

Post a Comment