Total Pageviews

Wednesday 22 June 2011

HADITH MAUDHU' (Siri 4)

Nukilan:
ABU ISLAM FATHUL BARI & UMMU ISLAM SITI AISYAH


LAFAZ YANG DIGUNAKAN TERHADAP HADITH PALSU

Pelbagai lafaz yang digunakan oleh para An-Nuqqad (pengkritik) untuk menyatakan bahawa riwayat tertentu maudhu'. Antaranya ;

1. Maudhu' (موضوع)

( مَنْ تَكَلَّمَ فِي المَسْجِدِ بِكَلامِ الدُّنْيَا، أَحْبَطَ اللهُ أَعْمَالَهُ )

Maksudnya : " Barangsiapa yang bercakap di dalam masjid tetang keduniaan, Allah akan membatalkan amalannya ".

As-Syaukani (w.1250H) telah berkata selepas mendatangkan riwayat ini [1] : Telah berkata As-Shoghoni (w.650H)[2] : Maudhu' (موضوع).

2. Tiada asal baginya (لا أصل له)

( عُقُوْلُهُنَّ فِي فُرُوْجِهِنَّ )

Maksudnya : " Akal wanita itu berada di kemaluannya ".

Ahmad bin Abdul Karim Al-'Amiri (w.1143H) telah berkata selepas mendatangkan riwayat ini : Tiada asal baginya (لا أصل له).[3]

3. Batil (باطل)

( مَنْ لَمْ يَقُلْ عَلِيٌّ خَيْرُ النَّاسِ فَقَد كَفَرَ )

Maksudnya : " Sesiapa yang tidak mengatakan 'Ali itu sebaik-baik manusia, maka dia telah kafir ".

Al-Jauzaqani (w.543H) telah berkata selepas mendatangkan riwayat ini : Batil (باطل).[4]



4. Tiada sanad baginya (لا إسناد له) atau Tidak diketahui ada sanadnya (لا أعرف له إسناد)

( خُذُوا شَطْرَ دِيْنِكُمْ عَن الحُمَيْرَاء )

Maksudnya : " Ambillah sebahagian agamamu daripada Humaira' (Aisyah Radhiyallahu 'Anha) ".

Ahmad bin Abdul Karim Al-'Amiri (w.1143H) telah menaqalkan perkataan Ibnu Hajar (w.852H) terhadap hadith ini : Aku tidak mengetahui baginya (hadith di atas) sanad (لا أعرف له إسناد).[5]

5. Tidak marfu' (ليس مرفوعا)

( أَكْرِمُوا ظُهُوْرَكُمْ ، فَإِنَّ فِيْهَا مَنَافِعُ لِلنَّاسِ )

Maksudnya : " Hormatilah belakang-belakang kamu semua, sesungguhnya padanya terdapat manfaat bagi manusia ".

Ibnu Taimiyah (w.728H) telah berkata selepas mendatangkan riwayat di atas : Aku tidak mengetahui bagi lafaz ini marfu'.[6]

6. Tidak diketahui dengan lafaz ini (لا يعرف يهذا اللفظ)

( الشَيْبُ نُوْرُ الإِيْمَانِ )

Maksudnya : " Uban itu merupakan cahaya iman ".

Ahmad bin Abdul Karim Al-'Amiri (w.1143H) telah berkata selepas mendatangkan riwayat ini : Tidak diketahui dengan lafaz ini (لا يعرف يهذا اللفظ). [7]

7. Bukan hadith (ليس بحديث)

(ذُبِحَ العِلْمُ بَيْنَ أَفْخَاذِ النِّسَاء)

Maksudnya : " Disembelih ilmu itu di celah peha-peha wanita ".

Al-'Ajluni (w.1162H) berkata : Bukan hadith (ليس بحديث).[8]


8. Bukan dari perkataan Nabi r (ليس من كلام النبي)

( المَعِدَةُ بَيْتُ الدَّاءِ وَ الحِمْيَةُ رَأْسُ الدَّوَاءِ )

Maksudnya : " Perut itu rumah penyakit, dan pantang makan itu ketua bagi segala ubat ".

Al-'Ajluni (w.1162H) berkata : Ad-Daruquthni (w.385H) mengatakan bahawa riwayat ini bukan daripada perkataan Nabi r  (ليس من كلام النبي) sebaliknya ia merupakan perkataan Abdul Malik bin Sa'id bin Al-Harith.[9]

9. Aku tidak menemuinya (لم أقف عليه)

( الدُنْيَا مَزْرَعَةُ الآخِرَةِ )

Maksudnya : " Dunia adalah tempat bercucuk tanam untuk akhirat ".

Ahmad bin Abdul Karim Al-'Amiri (w.1143H) telah berkata : As-Sakhawi (w.902H) telah menyatakan bahawa beliau tidak menemuinya (sanad) (لم أقف عليه). [10]

10. Tidak shahih (لا يصح)

( مَنْ قَالَ حِيْنَ يَسْمَعُ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، مَرْحَبًا بِحَبِيْبِي، وَ قُرَّة عَيْنِيْ مُحَمَّد بِن عَبْدِ اللهِ، ثُمَّ يُقَبِّلُ إِبْهَامَيْهِ، وَ يَجْعَلُهُمَا عَلَى عَيْنَيْهِ، لَمْ يَعْمُ وَ لَمْ يَرْمُد أَبَدًا )

Maksudnya : " Barang siapa yang berkata apabila mendengar Ashhadu Anna Muhammadar Rasulullah : Marhaban bi habibi wa qurrata 'aini ; kemudian dia mencium kedua ibu jarinya, dan meletakkannya di atas kedua matanya, nescaya dia tidak akan buta dan sakit mata selamanya ".

As-Syaukani (w.1250H) telah berkata selepas mendatangkan riwayat ini [11] : Telah berkata (Ibn Thohir) di dalam At-Tazdkirah[12] : Tidak shahih (لا يصح).



[1] Al-Fawaid Al-Majmu'ah Fil Ahadith Al-Maudhu'ah, oleh As-Syaukani (w.1255H), ms.24.
[2] Di dalam kitabnya Ad-Durru Al-Multaqith Fi Tabyin Al-Ghalath Wa Nafyi Al-Laght.
[3] Al-Jaddu Al-Hathith Fi Bayani Ma Laisa Min Al-Hadith, oleh Ahmad bin Abdul Karim Al-'Amiri (w.1143), ms.83.
[4] Al-Abathil Wa Al-Manakir, oleh Abu ‘Abdullah Al-Husain bin Ibrahim Al-Jauzaqani (w.543H). ms.312, Percetakan Keempat, Dar Al-Shomi'ie –Riyadh-, 2002M.
[5]Al-Jaddu Al-Hathith Fi Bayani Ma Laisa Min Al-Hadith, oleh Ahmad bin Abdul Karim Al-'Amiri (w.1143), ms.51.
[6] Lihat Ahadis Al-Qushos, oleh Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiyah (w.728H), ms.68. Kitab ini merupakan sebahagian daripada Majmu' Fatawa beliau, Percetakan Riyadh, Pentahqiq : Muhammad As-Shobbagh.
[7] Al-Jaddu Al-Hathith Fi Bayani Ma Laisa Min Al-Hadith, oleh Ahmad bin Abdul Karim Al-'Amiri (w.1143), ms.69.
[8] Kashful Khafa' Wa Muzilul Ilbas An Ma Ishtuhira Min Al-Ahadith 'Ala Alsinati An-Nas, oleh Ismail bin Muhammad Al-'Ajluni (w.1162H), (1/416),
[9] Ibid, (2/214).
[10] Al-Jaddu Al-Hathith Fi Bayani Ma Laisa Min Al-Hadith, oleh Ahmad bin Abdul Karim Al-'Amiri (w.1143), ms.57.
[11] Al-Fawaid Al-Majmu'ah Fil Ahadith Al-Maudhu'ah, oleh As-Syaukani (w.1255H), ms.20.
[12] Iaitu kitab Al-Tazkirah Fi Al-Ahadith Al-Maudhu’ah, oleh Abu Al-Fadhl Muhammad bin Thohir Al-Maqdisi (w.507H).

No comments:

Post a Comment