Total Pageviews

Wednesday 22 June 2011

HADITH MAUDHU' (Siri 2)

NUKILAN :
Abu Islam Fathul Bari & Ummu Islam Siti Aisyah


FAKTOR MUNCULNYA HADITH MAUDHU'

Hadith maudhu' tersebar melalui 2 keadaan ; samada :

  •  Pertama           :           Tersebar dengan sengaja  Kedua             :           Tersebar dengan tidak sengaja [1]

Daripada kedua-dua cara ini, lahirlah faktor-faktor penting yang menjadi punca  mengapakah hadith maudhu' tersebar dengan sengaja? Atau mengapakah penyebarannya tidak disengajakan ? Para muhaddithin telah menyatakan sebab-sebab penyebarannya secara panjang lebar di dalam kitab-kitab Mustholah Al-Hadith. Di sini penyusun ringkaskan kepada beberapa faktor yang menjadi elemen penting kepada penyebaran hadith maudhu'.



PERTAMA          :           TERSEBAR DENGAN SENGAJA

1.    Angkara Penyeleweng Dalam Agama

Kalangan sarjana Islam menggunakan istilah Zindiq[2] bagi merujuk kepada golongan tersebut. Al-Sakhawi (w.902H) berkata golongan ini adalah golongan yang menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufuran atau tidak berpegang dengan ajaran agama, mereka melakukan ini untuk meringan-ringankan agama dan berselindung dengannya daripada orang ramai.[3]

Golongan ini telah menggunakan hadith untuk memporak-perandakan Islam, memecah belahkan umatnya dan memasukkan penyelewengan dalam syariatnya.

Namun tindakan jahat mereka dapat dikesan, walaupun setelah berjaya sedikit sebanyak membekalkan kepada masyarakat umat Islam hadith-hadith palsu yang telah mereka cipta. Ini dibuktikan daripada pengakuan mereka sendiri.
           
'Abd Al-Karim bin Abu Al-Awja', sebelum dibunuh oleh Muhammad bin Sulaiman bin 'Ali, 'Amir Basrah semasa pemerintahan Khalifah Al-Mahdi pada tahun 160H, telah mengaku mereka empat ribu hadith yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.[4]

Di antara mereka adalah Harith Al-Kazzab[5] Muhammad bin Sa'id Al-Maslub[6], Mughirah bin Sa'id Al-Kufi[7]. Termasuk 'Abd Al-Karim bin Abu Al Awja' yang disebut di atas. Hammad bin Zaid (w.179H) [8] berkata : Golongan Zindiq telah mereka-reka empat belas ribu hadith .[9]

Berdasarkan kepada pengakuan mereka sendiri, mereka telah mencipta hadith-hadith palsu dan menyebarkan sejumlah besar hadith palsu tersebut ke tengah-tengah masyarakat. Jelaslah menunjukkan bahawa mereka secara terancang telah melakukan kerja jahat ini untuk mengelirukan umat Islam.

2.    Memenangkan Pegangan Dan Kepercayaan Yang Dianuti

Rasulullah SAW sentiasa menggalakkan umat Islam sentiasa bersatu tanpa sebarang sengketa baik semasa hayat baginda atau selepas kewafatannya.Namun sesuatu itu tidak sentiasa indah. Fitnah dan perpecahan di kalangan umat Islam berlaku juga, malah sampai ke peringkat yang serius setelah berlakunya peristiwa pembunuhan Khalifah 'Uthman bin 'Affan. Sehingga berlakunya perang saudara di dua medan perang iaitu Perang Al-Jamal dan Al-Siffin.

Semakin jauh manusia daripada zaman kenabian maka semakin banyaklah perpecahan dan perselisihan. Ini terbukti apabila didapati era para sahabat adalah zaman yang paling sedikit berlakunya fitnah berbanding dengan zaman selepasnya.

Perpecahan dan perselisihan ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu :-

i.          Perselisihan Politik

Perselisihan ini fokusnya adalah masalah khilafah pemerintahan dan siapakah yang lebih layak menjawatnya. Dari sini lahirnya golongan Shi'ah [10] Khawarij[11] di samping golongan Ahli Sunnah waljamaah  yang sudah sedia ada.

Golongan Shi'ah sebagai contohnya, bagi mempertahankan pegangan mereka, telah mencipta hadith-hadith bagi menonjolkan kelebihan Ahl Al-Bayt terutama 'Ali r.a dan keturunannya, di samping hadith-hadith yang menunjukkan Abu Bakar r.a dan 'Umar r.a telah menyakiti 'Ali r.a sekeluarga. Contohnya :

( وَصِيِّي وَ مَوْضِعُ سِرِّي وَ خَلِيْفَتِي فِي أَهْلِي وَ خَيْرُ مَنْ أَخْلُفُ بَعْدِي عَلِيّ )

Maksudnya : " Wasiatku, tempat rahsiaku, khalifahku bagi keluarga dan sebaik-baik orang
yang ku tinggalkan selepasku adalah 'Ali ".[12]

Pihak yang satu lagi pula menjawabnya dengan hadith-hadith yang mengangkat kedudukan Abu Bakar r.a, 'Umar r.a , 'Uthman r.a seperti :

( مَا فِي الجَنَّةِ شَجَرَةٌ إلا مَكْتُوْب عَلَى كُلِّ وَرَقَةٍ مِنْهَا لا إِلَهَ إِلا الله مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ، أَبو بَـكر الصـديق وَ
عُمَر الفَارُوْق، وعُثمَان ذُو النُّورين )

Maksudnya : " Tidak terdapat satu helai pokok pun dalam syurga kecuali tertulis di setiap helai daunnya La'ilaha illallah Muhammad Rasul Allah, Abu Bakar Al-Siddiq, 'Umar Al-Faruq dan 'Uthman Dzhu Al-Nurain ".[13]

Manakala golongan yang fanatik dengan Mu'awiyyah r.a dan Umawiyyin pula mencipta hadith mereka sendiri :

( الأُمَنَاءُ عِنْدَ اللهِ ثَلاثَةٌ : أَنَا، وَ جِبْرِيْل وَ مُعَاوِيَة )

Maksudnya : " Yang paling amanah ada tiga : Aku, Jibrail dan Mu'awiyyah ".[14]

ii.         Perselisihan Aqidah Dan Fiqh

Berpunca daripada perbezaan pendapat dalam beberapa permasalahan sifat dan nama Allah, mengenai kerasulan, kitab, kebangkitan di Hari Kiamat, Qada' dan Qadar dan lain-lain lagi. Lahir kemudian beberapa Mazhahib Al-Mutakallimin seperti Qadariyyah, Murji'ah, Jahmiyyah, Mu'tazilah, Mushabihat di samping Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua faktor ini ada kaitan rapat, kerana setiap golongan politik ada pegangan aqidahnya.

Di tambah pula di permulaan kurun ke-2 Hijrah perselisihan di sekitar permasalahan furu' di dalam fiqh yang memunculkan kemudiannya beberapa mazhab Fiqh. Didorong oleh sentimen yang mahu memenangkan mazhab pegangan masing-masing, juga untuk menonjolkan keistimewaan imam-imam ikutan mereka, maka timbullah hadith-hadith palsu bagi tujuan tersebut.

Contoh hadith-hadith palsu yang dicipta untuk memenangi mazhab tertentu :

( مَنْ رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الرُّكُوْعِ فَلا صَلاةَ لَهُ )

Maksudnya : '' Sesiapa yang mengangkat tangannya semasa ruku', maka tiadalah baginya solat ".[15]


Begitu juga hadith :

( إذَا كَانَ فِي الثَّوْبِ قَدْرُ الدِّرْهَمِ مِنْ الدَّمِ غُسِلَ الثَّوْبُ وَأُعِيدَتْ الصَّلاةُ )

Maksudnya : " Apabila terdapat pada pakaian, darah sebesar wang satu dirham hendaklah
dibasuh dan diulangi solatnya ".[16] 

Hadith-hadith palsu yang menonjolkan keistimewaan imam ikutan mereka dan untuk merendah-rendahkan imam-imam saingannya :

( يَكُوْنُ فِي أُمَّتِيْ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ مُحَمَّد بِن إِدْرِيْس، أَضَرُّ عَلَى أُمَّتِيْ مِنْ إِبْلِيْس، وَ يَكُوْن فِي أُمَّتِيْ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ
أَبُو حَنِيْفَة، هُوَ سِرَاجُ أُمَّتِي )

Maksudnya : " Akan lahir daripada umatku seorang lelaki yang dikatakan baginya Muhammad bin Idris, lebih bahaya bagi umatku daripada iblis, dan akan lahir di kalangan umatku lelaki yang dikatakan Abu Hanifah, beliau adalah pelita umatku ".[17]

Keadaan ini tidak terhenti setakat itu sahaja, pihak lawan juga tidak berdiam diri dan melihat sahaja tanpa ada tindak balas, sebaliknya mereka juga mencipta hadith-hadith palsu bagi menjawab serangan yang ditujukan kepada mereka.

Ekoran fanatik kepada mazhab tadi, adalah fanatik kepada kabilah, bangsa dan warna kulit di mana terdapat juga hadith-hadith palsu mengenai kelebihan bahasa Arab, Farsi dan sebagainya. Di samping hadith-hadith palsu mengenai kelebihan sesuatu tempat dan mencela tempat-tempat tertentu.[18]



3.    Kecenderungan Untuk Mengajak Kepada Kebaikan Dan Targhib Wa Tarhib Dalam Keadaan Jahil.

Golongan Zuhhad dan ahli ibadat dalam mendorong dan merangsang orang ramai supaya mendekatkan diri mereka kepada Allah dan beribadat kepada-Nya telah mencipta hadith-hadith palsu bagi tujuan tersebut. Berbekal dengan tujuan mereka yang baik tetapi kerana kejahilan mereka mengenai ajaran agama atau kecuaian mereka dan mengikut kemahuan sendiri, mereka telah mencipta hadith-hadith palsu tersebut.
           
Ini termasuklah hadith-hadith mengenai kelebihan dan keistimewaan surah-surah Al-Quran, ibadat seperti solat pada sempena hari tertentu seperti malam ‘Asyura dan siangnya,[19] malam pertama bulan Rejab,[20] malam Nisfu Sha’ban,[21] malam ‘Aidil Fitri dan siangnya[22] dan lain-lain lagi.

Di samping itu terdapat juga hadith-hadith palsu yang dicipta bagi mendorong manusia supaya mengerjakan taat dan zuhud, juga berakhlak dengan akhlak yang baik dan amalan yang terpuji.

Ibn ‘Adi (w.365H) ada meriwayatkan katanya: Aku mendengar Abu ‘Abdullah Al-Nahawandi berkata: Saya berkata kepada pesuruh Al-Khalil,[23] Inikah hadith-hadith kamu sebut Al-Riqaq ? Beliau menjawab : " Aku menciptanya untuk  melembutkan dengannya hati-hati orang awam ". [24]

Abu ‘Ismah Nuh bin Abu Mariam, Maisarah bin ‘Abd Rabbuh adalah di antara mereka yang terlibat dalam mencipta hadith-hadith palsu mengenai kelebihan-kelebihan Al-Quran. Nuh apabila ditanya mengenai hadith yang dikatakan diriwayat oleh Malik daripada ‘Ikrimah, daripada Ibn ‘Abbas mengenai fadhail Al-Quran, surah demi surah, sedangkan murid-murid ‘Ikrimah tidak meriwayatkannya, beliau berkata : " Saya melihat orang ramai meninggalkan Al-Quran dan tertumpu kepada Fiqh Abu Hanifah dan Maghazi Ibn Ishaq, lalu saya ciptalah hadith tersebut ". [25]

Begitu juga Maisarah apabila ditanya oleh Abdurrahman bin Mahdi (w.198H), dari mana datangnya hadith, sesiapa yang membaca sekian, lalu mendapat pahala sekian? Beliau menjawab: " Saya menciptanya untuk mendorong orang membacanya ".[26]

4.    Fanatik perkauman

Sikap fanatik atau ta'ashub dalam apa jua hal keadaan memang dibenci oleh Islam. Ini kerana, ia boleh membawa kepada perpecahan umat. Dan Islam amat membenci perpecahan. Maka, musuh-musuh Islam mengambil peluang mewujudkan hadith-hadith palsu, samada tentang kelebihan kaum, bangsa atau bahasa-bahasa tertentu, di mana ianya boleh meretakkan persaudaraan yang telah disemaikan oleh Islam. Tetapi oleh kerana terpengaruh dengan dorongan hawa nafsu, manusia terpesong dari landasan kebenaran. Al-Quran dan As-Sunnah dibelakangkan, musuh Islam dijadikan teladan !!. Antara contoh hadith yang boleh membawa kepada perpecahan umat :

( إِذَا غَضِبَ اللهُ تعالى أَنْزَلَ الوَحْيَ بِالفَارِسِيَّةِ، وَ إِذَا رَضِيَ أَنْزَلَهُ بِالعَرَبِيَّةِ )

Maksudnya : " Apabila Allah murka, maka Dia akan menurunkan wahyu dalam bahasa Parsi, dan jika Dia redha, Dia akan menurunkan wahyu dalam bahasa Arab ".[27]

Hadith ini diriwayatkan oleh 'Umar bin Musa bin Wajih Al-Wajihi. Yahya bin Ma'in (w.232H) berkata : Beliau tidak dipercayai [28]. Al-Bukhari (w.256H) : Hadithnya munkar [29]. An-Nasa'ie (w.303H) : Hadithnya matruk  [30].

5.    Kecenderungan Terhadap Kepentingan Duniawi

Kecenderungan dan tamak untuk memperolehi keseronokan dunia dan kemewahannya juga adalah di antara pendorong yang melahirkan hadith-hadith palsu.
Ini adalah dengan beberapa cara iaitu:

i.    Mendekati kalangan yang berkuasa dengan mengharapkan sesuatu daripadanya.

Berpunca daripada kelemahan iman dan jiwa, telah menyebabkan terdapatnya individu-individu yang mengambil kesempatan berdampingan dengan pihak yang berkuasa dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu sama ada ganjaran secara material, kedudukan yang baik dan seumpamanya. Mereka sanggup menjual akhirat mereka kerana mengharapkan dunia.
           
Contohnya : Ghiyath bin Ibrahim Al-Nukha’ie yang sanggup berdusta terhadap Rasulullah SAW dengan menokok tambah hadith Rasulullah SAW kerana mengharapkan ganjaran daripada Khalifah Al-Mahdi. Hadith tersebut adalah sabda Rasulullah SAW  :

( لا سَبَقَ إِلا فِي نَصْلٍ أَوْ خفّ أَوْ حَافِرٍ )

Maksudnya: “ Tidak boleh diadakan pertandingan kecuali, memanah, unta, atau kuda .”[31]

Ghiyath telah menambah dalam hadith ini :


(لا سَبَقَ إِلا فِي نَصْلٍ أَوْ خفّ أَوْ حَافِرٍ أَوْ جَنَاح )

Maksudnya: " Tidak boleh diadakan pertandingan melainkan memanah, unta, kuda, atau melaga burung ".

Beliau telah menambahkan "melagakan burung" kerana beliau mengetahui Khalifah Al-Mahdi seorang penggemar pelagaan burung. Al-Mahdi telah memerintahkan supaya diberikan kepada Ghiyath sebanyak 10 ribu tetapi setelah beliau mengetahui yang Ghiyath berdusta, beliau telah menempelak Ghiyath dan memerintahkan supaya burung tersebut disembelih.[32]


ii.   Pencerita (Qassas) dan penceramah (Wa’iz)

Golongan pencerita dan penceramah juga mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Mereka mengharapkan ganjaran duniawi daripada orang ramai yang menghadiri majlis mereka. Semakin ramai yang hadir bererti semakin bertambahlah kutipan yang mereka terima.

Tujuan mereka tidak lain kecuali untuk mendapat keuntungan keduniaan. Justeru itu, mereka sanggup berdusta atas nama   Rasulullah r dengan mencipta hadith-hadith palsu dalam pelbagai bentuk untuk menarik perhatian ramai, samada berbentuk cerita, hikayat yang merupakan dongeng dan khurafat. Walaupun kepalsuannya sudah nyata, namun mereka dengan beraninya mempertahankannya dengan alasan-alasan yang diada-adakan.

Contoh yang sangat jelas adalah apa yang berlaku kepada Imam Ahmad bin Hanbal (w.241H) dan Yahya bin Ma’in (w.232H), dua tokoh muhaddhithin  yang terkenal. Kedua-duanya telah bersolat di Masjid Rasafah, sebaik solat selesai seorang lelaki telah bangun bagi menyampaikan pengajarannya dan berkata : Telah meriwayatkan kepada kami Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in, katanya: Haddthana ‘Abd Al-Razzaq, katanya : Telah memberitahu kami Ma’mar daripada Qatadah daripada Anas katanya: Rasulullah SAW bersabda:

( مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله : خَلَقَ اللهُ من كُلِّ كَلِمَةٍ طَيْراً، مِنْقَارُهُ مِنْ ذَهَب، وَ رِيْشُهُ مِنْ مَرْجَان ... )

Maksudnya: " Sesiapa yang menyebut : La ila ha Illallah, akan dicipta bagi setiap patah perkataan yang disebut seekor burung, paruhnya dibuat daripada emas dan bulunya daripada berlian …"

Pengajaran tersebut berlarutan sehingga kadar 20 helai kertas. Menyebabkan Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in saling berpandangan antara satu sama lain dan Yahya bertanya: “Adakah kamu  yang menyampaikan hadith tersebut?”, Ahmad menjawab: “Demi Allah! Belum pernah saya mendengarnya kecuali sekejap tadi. Lalu mereka berdua diam sehingga lelaki tersebut selesai menyampaikan pengajarannya dan mengambil pemberian daripada hadirin dan menunggu selebihnya. Setelah itu kedua-duanya menghampiri lelaki tersebut dan Yahya bertanya: “Siapakah yang menyampaikan hadith tersebut? Jawabnya: “Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in. Yahya menerangkan: Saya adalah Yahya bin Ma’in dan ini adalah Ahmad bin Hanbal! Kami tidak pernah mendengar hadith sedemikian daripada Rasulullah  SAW sama sekali…lelaki tersebut berkata: “Baru sekarang aku mengetahui yang Yahya bin Ma’in adalah seorang  yang bodoh”. Yahya bertanya lagi: “Bagaimana kamu mengetahui  yang saya ini bodoh?”, Jawabnya: “Macamlah tidak ada dalam dunia ini Yahya dan Ahmad selain kamu berdua, saya menulis daripada 17 orang Ahmad bin Hanbal selain daripada lelaki ini.[33] 


iii.  Melariskan barang dagangan dan memuji atau mencela sesuatu pekerjaan.

Ini merupakan satu lagi faktor duniawi yang mendorong seseorang mencipta hadith-hadith palsu. Demi melariskan jualannya, mereka sanggup berbuat demikian dengan mencipta hadith yang menunjukkan kebaikan barangan tersebut.

Muhammmad bin Hajjaj Al-Lakhami[34] mencipta hadith yang menunjukkan keistimewaan sejenis bubur, dengan meriwayatkan satu hadith yang kononnya diriwayatkan daripada Huzaifah, di mana Rasulullah SAW bersabda:

( إِنَّ جِبْرِيْلَ أَطْعَمَنِيْ الهَرِيْسَةَ يَشُدَّ بِهَا ظَهْرِي لِقِيَامِ اللَّيْلِ )

Maksudnya: " Sesungguhnya Jibrail telah memberikan aku bubur harisah untuk menguatkan dengannya belakangku untuk mengerjakan Qiamullail ".[35]

Satu lagi hadith yang dikatakan diriwayatkan daripada Mu’az katanya :

( يَا رَسُوْلَ اللهِ ! هَلْ أُتِيْتَ مِنَ الجَنَّةِ بِطَعَامٍ ؟ قَالَ : نَعَمْ، أُتِيْتُ بِالهَرِيْسَةِ، فَأَكَلْتُهَا، فَزَادَتْ فِي قُوَّتِيْ قُوَّةَ أَرْبَعِيْنَ، فَفِي النِّكَاحِ نِكَاحَ أَرْبَعِيْنَ . فَكَانَ مُعَاذ لا يَعْمَل طَعَامًا إِلا بَدَأَ بِالهَرِيْسَةِ )

Maksudnya: " Saya bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah didatangkan kepada tuan makanan syurga? Jawab baginda : Ya! Saya didatangkan dengan bubur harisah lalu saya memakannya maka bertambah kekuatan saya dengan kekuatan 40 orang dan dalam perkahwinan saya (persetubuhan) dengan 40 kali perkahwinan (hubungan jantina). Maka Mu’az tidak akan menyediakan makanan kecuali dimulakan dengan harisah ".[36]

Ahmad bin Ya'qub Al-Umawi Al-Marwani pula mencipta hadith mengenai kelebihan tembikai [37]. Sebagaimana kita akan menemui hadith-hadith yang dicipta mengenai kelebihan terung,[38] dan beberapa jenis buah-buahan seperti anggur, [39] delima,[40] dan lain-lain. Tidak terkecuali kelebihan setengah-setengah perkejaan seperti jahitan, berbekam dan lain-lain.

iv.  Mematahkan hujah lawan dan menguatkan alasan sendiri dalam debat atau diskusi.

Ada di kalangan yang mendakwa berilmu, dengan berani sekali telah mencipta hadith-hadith palsu semata-mata untuk mempertahankan pendapatnya. Ini berlaku dalam majlis ilmu yang berbentuk debat dan seumpamanya, di mana ketika itu juga mereka mencipta hadith-hadith tersebut  bagi mempertahankan pandangan dan pendapatnya. Contohnya :

( الإِيْمَانُ عَقْدٌ بِالقَلْبِ، وَ إِقْرَارُ بِاللِّسَانِ، وَ عَمَلُ بِالأَرْكَانِ )

Maksudnya : " Iman itu adalah beri'tiqad dengan hati, dan berikrar dengan lisan, serta beramal dengan anggota badan ".[41]

Hadith ini direka oleh sebahagian golongan yang ingin mengukuhkan mazhab Ahli Sunnah dalam masalah aqidah. Oleh kerana ianya palsu, maka sama sekali tidak boleh disandarkan kepada Nabi SAW, walaupun ia dapat menjadi hujjah kukuh mazhab ahli sunnah.

v.   Kepentingan Peribadi

Muhammad bin ‘Abd Al-Malik Al-Ansari seorang yang cacat penglihatannya telah  mencipta satu hadith demi kepentingan peribadinya dengan menonjolkan kelebihan memimpin orang buta. Katanya :

( مَنْ قَادَ أَعْمَى أَرْبَعِيْنَ خُطْوَة، وَجَبَتْ لَهُ الجَنَّة )

Maksudnya: " Sesiapa yang memimpin orang buta sejauh 40 langkah, Allah akan memperuntukkan kepadanya syurga ". [42]

Begitu juga Sa’ad bin Thorif Al-Iskaf telah mencipta satu hadith, apabila didapati anaknya yang pulang dari tempat belajar dalam keadaan menangis dan mengadu dipukul oleh gurunya. Lalu beliau berkata : " Demi Allah! Saya akan menghina mereka, telah memberitahuku ‘Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas, katanya Rasulullah SAW bersabda :

( شَرَارُكُمْ مِنْ مُعَلِّمِيْكُمْ، أَقَلُّهُمْ رَحْمَةً عَلَى اليَتِيْمِ وَ أَغْلَظَهُمْ عَلَى المِسْكِيْنِ )

Maksudnya : " Sejahat-jahat orang di kalangan Guru-guru kamu, adalah yang amat sedikit sifat kasih sayang terhadap anak yatim dan paling kasar terhadap orang-orang miskin ". [43]



KEDUA    : TERSEBAR DENGAN TIDAK SENGAJA


1. Golongan soleh yang keterlaluan dalam beribadat, hingga hilang hafalannya

Berkata Abu 'Ashim An-Nabil (w.212H) : " Aku tidak pernah melihat orang yang soleh berbohong terhadap sesuatu lebih banyak dari (berbohong) terhadap hadith ".[44]

2. Golongan kehilangan kitab yang menjadi rujukan utamanya

Golongan ini hanya dipercayai jika meriwayatkan dari kitabnya. Tetapi selepas kehilangan kitab, seperti terbakar, banjir dan lain-lain, mereka hanya bergantung pada hafalan. Jadi, mereka meriwayatkan hadith dari hafalan. Maka, berlakulah kesilapan-kesilapan dalam periwayatan hingga menyebabkabkan lahir hadith-hadith palsu. Antaranya ;

Abdullah bin Lahi'ah bin 'Uqbah Al-Khodhrami (w.174H). Beliau merupakan seorang yang shoduq (agak boleh dipercayai), tetapi hafalannya bercelaru selepas kitab-kitabnya terbakar.[45]

3. Golongan yang bercelaru hafalannya kerana meningkat usia

Fitrah manusia, apabila lanjut usianya, maka hafalannya agak lemah. Tetapi kita tidak nafikan ribuan tokoh-tokoh hadith yang lampau, begitu kuat hafalan mereka hingga ke akhir hayat. Kewujudan golongan yang bercelaru hafalannya kerana usia, mendapat perhatian penting para An-Nuqqad, kerana kedudukan atau status hadith bergantung pada perawinya. Jika dilihat, sebahagian daripada An-Nuqqad bertungkus-lumus mengumpulkan nama-nama perawi yang dikritik kerana celaru hafalannya samada disebabkan usia atau kehilangan kitab dan lain-lain. Antaranya :

Isma'il bin 'Ayyash bin Salim Al-'Anasi (w.181H). Beliau merupakan seorang yang 'alim di Syam. Tetapi, beliau didho'ifkan di Hijaz, kerana hafalannya yang bercelaru disebabkan usia yang meningkat, dan terdapat banyak kesalahan dalam riwayatnya.[46]




[1] Lihat Al-Hadith Al-Dha'if  Wal Hukmul Ihtijaji bihi, oleh Dr.Abdul Karim Al-Khudhoir, ms.136-140, Percetakan Ketiga, Maktabah Dar Al-Manhaj, 1426H.
[2] Zindiq adalah perkataan Parsi yang diarabkan , ia berasal daripada perkataan Zandawin yang bermaksud agama perempuan .Ada yang mengatakan perkataan Zand bererti tafsir dan ta'wil. Atau sesiapa yang menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan iman. Dengan itu Zindiq adalah tafsir yang terkeluar daripada batas-batas yang sebenar dalam maksud mentafsirkan nas-nas Al Quran dan Hadith yang bercanggah dengan makna yang sebenar atau bertentangan dengan prinsip-prinsip aqidah Islamiyyah. Lihat : Al-Qamus Al-Muhith, oleh Fairuz Abadi (w.817H), ms.822. 
[3] Fathul Mughith Syarh Alfiyyati Hadith, oleh Shamsuddin Muhammada bin Abdirrahman Al-Sakhawi (w.902H),  (1/257), Percetakan Pertama, Darul Kutub 'Ilmiah –Beirut-, 1403H.
[4] Al-Kashful Hathis 'an man Rumiya bi Wadh'I al-Hadith, oleh Abu Al-Wafa Ibrahim bin Muhammad bin Sibth bin Al-'Ajami, ms.172, Percetakan Pertama, 'Alimul Kutub, Maktabah Al-Nahdhoh Al-'Arabiyyah-Beirut-, 1987M, Pentahqiq : Subhi Al-Samara'ie.
[5]               Harith bin 'Abdullah Al-Hamdani Al-Kharifi Al-A'wan. Sha'bi berkata : Beliau seorang pendusta. Menurut Abu Hatim (w.277H) : Beliau mati semasa pemerintahan 'Abdullah bin Yazid Al-Khutami di Kufah pada tahun 65H. Biografi beliau terdapat dalam Al-Tahzhibu Al-Tahzhib, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (2/126), Percetakan Pertama, Darul Fikr –Beirut-, 1984M. Boleh dilihat juga di dalam : Al-Du'afa' Al-Kabir, (1/207-208), Tarikh Al-Kabir, (2/284), kedua-duanya oleh Muhammad bin Ismail Abu Abdillah Al-Bukhari Al-Ju'fi (w.256H).
[6] Berasal dari Jordan, disula kerana kezindiqannya, beliau mereka-reka hadith dengan disandarkan kepada perawi yang thiqoh. Lihat : Al-Dhu'afa', oleh Abu Ja'far Muhammad bin 'Umar bin Musa Al-'Uqaili (w.322), (4/70-71), Percetakan Pertama, Darul Kutub 'Ilmiah –Beirut-, 1984M, Pentahqiq : 'Abdul Mu'thi Amin Qal'aji. Lihat juga : Al-Kamil Fi Dhu'afa Al-Rijal, oleh Abdullah bin 'Adi Abu Ahmad Al-Jurjani (w.365H), (6/139-141), Percetakan Ketiga, Darul Fikr –Beirut-, 1988M, Pentahqiq : Yahya Mukhtar Ghazawi.
[7] Menurut Jarir bin 'Abdullah, beliau adalah seorang pendusta dan ahli sihir. Jawjazani (w.259H) berkata beliau dibunuh oleh Khalid bin "Abdullah Al-Qusairi di sekitar tahun 120H kerana mendakwa menjadi Nabi. Lihat : Al-Majruhin, oleh Abu Hatim Muhammad bin Hibban Al-Busti (w.354H), (3/7-8), Percetakan Darul Wa'I –Halab-, Pentahqiq : Muhammad bin Ibrahim Zayid. Al-Kamil Fi Dhu'afa Al-Rijal, oleh Abdullah bin 'Adi Abu Ahmad Al-Jurjani (w.365H), (6/352).
[8] Beliau adalah Hammad bin Zaid bin Dirham Al-Azdi Al-Jahdami, Abu Isma'il Al-Basri (w.179H), menurut Ibn Hibban (w.354H), beliau cacat penglihatan dan menghafal banyak hadith. Abdullah bin Al-Mubarak (w.181H) berkata: Wahai penuntu ilmu, datangilah Hammad bin Zaid, dan tuntutlah ilmu serta tulislah apa yang kamu dengari darinya, pada ada 4000 hadith, dan dia menghafal kesemuanya, dan tiada kitab padanya. Lihat : Ma'rifatu Ath-Thiqat, oleh Ahmad bin Abdillah Abu Al-Hasan Al-'Ijli Al-Kufi (w.261H), (1/319), Percetakan Pertama, Maktabah Al-Dar –Madinah-, 1985M, Pentahqiq : Abdul 'Alim Abdul 'Azhim Al-Bustawi.
[9] Lihat : Tadrib Al-Rawi Fi Syarhi Taqrib An-Nawawi, oleh Jalaluddin As-Suyuthi (w.911H), ms.247.
[10] Shi'ah diambil daripada perkataan Al-Mushaya'ah yang membawa maksud pendokong dan pengikut setia. Mereka adalah golongan yang beri'tiqad 'Ali adalah sebaik-baik manusia sesudah Rasulullah  r secara mutlak. Beliau juga adalah pengganti baginda dengan wasiatnya, sama ada secara terang atau sulit. Imam-imam selepasnya hendaklah daripada keturunan beliau. Lihat : Maqalat Islamiyyin, (1/65), Al-Milal Wa Al-Nihal, (1/146), Al-Imamah, hal. 31-34.
[11] Khawarij adalah kata jama' daripada kharij iaitu mereka yang keluar daripada kepatuhan imam yang sah, mengumumkan penderhakaannya dan perlawanan terhadapnya. Setiap mereka yang keluar daripada kepatuhan kepada imam sah adalah dinamakan Khawarij tanpa mengira masa dan zaman. Apabila disebut Khawarij, yang  dimaksudkan di sini ialah golongan yang keluar daripada ketaatan kepada imam 'Ali bin Abu Talib dalam Peperangan Al-Siffin, setelah beliau menerima Majlis Tahkim. Lihat Maqalat Islamiyyin, (1/167), Al-Milal Wa Al-Nihal, (1/114), Al-Farq Bayn Al-Firaq, hal. 57.
[12] Lihat Al-Fawaid Al-Majmu'ah Fil Ahadith Al-Maudhu'ah, oleh Muhammad bin Ali as-Syaukani (w.1255H), ms.369, Percetakan Ketiga, Al-Maktab Al-Islami –Beirut-, 1407H, Pentahqiq : Abdurrahman Yahya Al-Mu'allimi. Berkata As-Syaukani (w.1255H) : Di dalam sanadnya terdapat pemalsu hadith.
[13] Lihat Al-Fawaid Al-Majmu'ah Fil Ahadith Al-Maudhu'ah, oleh As-Syaukani (w.1255H), ms.342. As-Syaukani menaqalkan kata-kata Ibn Hibban (w.354H) : Hadith ini palsu.
[14] Ibid, ms.404. As-Syaukani menaqalkan kata-kata Ibn Hibban (w.354H) : Hadith ini bathil dan palsu.
[15] Lihat Nashbu Al-Rayah Li Ahadith Al-Hidayah, oleh Abdullah bin Yusuf Al-Zaila'ie (w.762H), (1/294), Percetakan Dar Al-Hadith –Mesir-, 1357H, Pentahqiq : Muhammad Yusuf Al-Banuri. Al-Zaila'ie menaqalkan kata-kata Ad-Daruquthni (w.385H) : Muhammad bin 'Ukashah ini (perawi hadith di atas) seorang pemalsu hadith.
[16] Lihat Nashbu Al-Rayah Li Ahadith Al-Hidayah, oleh Abdullah bin Yusuf Al-Zaila'ie (w.762H), (1/182). Al-Zaila'ie menaqalkan kata-kata Al-Bukhari (w.256H) : Hadith ini bathil, dan Ruh bin Ghuthoif (perawi hadith ini) mungkar hadith.
[17] Lihat Al-Fawaid Al-Majmu'ah Fil Ahadith Al-Maudhu'ah, oleh As-Syaukani (w.1255H), ms.420. Berkata As-Syaukani (w.1255H) : Hadith ini palsu, padanya terdapat 2 pemalsu hadith iaitu Ma'mun bin Ahmad As-Sulami dan Ahmad bin Abdillah Al-Juwaibari.
[18] Lihat hadith-hadith palsu yang memuji dan menyebut kelebihan Makkah, Madinah, Jeddah, Bayt Al-Maqdis, Dimashq dan lain-lain dalam Al-'Ilal Al-Mutanahiyah Fil Ahadith Al-Wahiyah, lebih dikenali dengan Al-Maudhu'at, oleh Abdurrahman bin 'Ali bin Al-Jauzi (w.597H), (2/51), Percetakan Pertama, Darul Kutub Al-'Ilmiah, 1403H, Pentahqiq : Khalil Al-Mis. Sebagaimana terdapat hadith-hadith yang mencela Istanbul, San'aa, Mesir, Basrah, Baghdad dan lain-lain dalam rujukan yang sama (2/51, 57 dan 60).
[19] Ibid, (2/122).
[20] Ibid, (2/123-124).
[21] Ibid, (2/127,130).
[22] Ibid, (2/130-132).
[23] Beliau adalah Ahmad bin Muhammad bin Ghalib Al-Bahili, seorang yang terkenal dengan sifat zahidnya di Baghdad dan meninggal pada 277H. Lihat : Lisanul Mizan, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (1/272), Percetakan Ketiga, Muassasah Al-A'lami Lil Mathbu'at –Beirut-, 1986M, Pentahqiq : Da'iratul Mu'arraf An-Nazhzhomiyyah.
[24] Lihat : Al-Kamil Fi Dhu'afa Al-Rijal, oleh Abdullah bin 'Adi Abu Ahmad Al-Jurjani (w.365H), (1/195).
[25] Lihat : Tadrib Al-Rawi Fi Syarhi Taqrib An-Nawawi, oleh Jalaluddin As-Suyuthi (w.911H), ms. 246.
[26] Ibid.
[27] Ibid, (5/10). Ibn 'Adi (w.365H) menyebut : Hadith ini terlalu mungkar.
[28] Lihat : Lisanul Mizan, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (4/333).
[29] At-Tarikh Al-Kabir, oleh Muhammad bin Ismail al-Bukhari (w.256H), (6/197), Percetakan Darul Fikr, Pentahqiq : Sayyid Hasyim Al-Nadawi.
[30] Ad-Dhu'afa' Wa al-Matrukin, oleh Abu Abdurrahman Ahmad bin Syu'aib An-Nasai'e (w.303H), ms.82, Percetakan Pertama, Dar Al-Wa'ie –Halab-, 1369H, Pentahqiq : Mahmud Ibrahim Zayid.
[31] Al-Jaami'us Shahih (Sunan at-Tirmidzi), oleh Abu 'Isa Muhammad bin 'Isa at-Tirmidzi (w.279H), (4/205), Percetakan Dar Ihya' at-Turath al-'Arabi –Beirut-, Pentahqiq : Ahmad Muhammad Syakir
[32] Tarikh Baghdad, oleh Ahmad bin 'Ali Abu Bakr Al-Khatib Al-Baghdadi (w.463H), (12/323-324), Percetakan Dar Al-Kutub Al-'Ilmiah –Beirut-.
[33] Al-Asrar Al-Marfu'ah Fi Al-Akhbar Al-Maudhu'ah, oleh Mulla 'Ali Al-Qari, ms.53, Percetakan Dar Al-Amanah dan Muassasah Ar-Risalah –Beirut-, 1971M.
[34] Yahya bin Ma'in (w.232H) berkata : Muhammmad bin Hajjaj Al-Lakhami  seorang pembohong, dan memalsukan hadith yang berkaitan dengan bubur harisah. Lihat : Al-Dhu'afa', oleh Abu Ja'far Muhammad bin 'Umar bin Musa Al-'Uqaili (w.322), (4/44).
[35] Majma' Al-Zawaid Wa Manba'u Al-Fawaid, oleh Nuruddin 'Ali bin Abi Bakr Al-Haithami (w.807H), (5/47), Percetakan Darul Fikr –Beirut-, 1412H.
[36] Lisanul Mizan, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (5/166).
[37] Al-Kashful Hathis 'an man Rumiya bi Wadh'I al-Hadith, oleh Abu Al-Wafa Ibrahim bin Muhammad bin Sibth bin Al-'Ajami, (1/61).
[38] Al-Fawaid Al-Majmu'ah Fil Ahadith Al-Maudhu'ah, oleh As-Syaukani (w.1255H), ms.167.
[39] Ibid, ms.160.
[40] Kashful Khafa' Wa Muzilul Ilbas An Ma Ishtuhira Min Al-Ahadith 'Ala Alsinati An-Nas, oleh Ismail bin Muhammad Al-'Ajluni (w.1162H), (2/193), Percetakan Ketiga, Darul Kutub Al-'Imiah –Beirut-, 1408H.
[41] Al-Asrar Al-Marfu'ah Fi Al-Akhbar Al-Maudhu'ah, oleh Mulla 'Ali Al-Qari, ms.142.
[42] Lisanul Mizan, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), (5/265).
[43] Lihat : Al-Kamil Fi Dhu'afa Al-Rijal, oleh Abdullah bin 'Adi Abu Ahmad Al-Jurjani (w.365H), (3/351).
[44] Lihat : Al-Kifayah Fi 'Ilmi Ar-Riwayah, oleh Al-Khathib Ahmad bin 'Ali al-Baghdadi (w.463H), ms.144, Percetakan Pertama, Mathba'ah As-Sa'adah –Kaherah-.
[45] Lihat : At-Tarikh, oleh Yahya bin Ma'in (w.232H), (1/481), Percetakan Pertama, Universiti Al-Malik Abdul 'Aziz, 1399H, Pentahqiq : Ahmad Muhammad Nur Saif. Lihat : Taqrib Al-Tahzhib, oleh Ahmad bin 'Ali bin Hajar Al-'Asqalani (w.852H), ms.538, no.3587, Percetakan Pertama, Dar Al-'Ashimah –Riyadh-, 1416H, Pentahqiq : Abu Al-Ashbal Shoghir Ahamad Shaghif Al-Pakistani.
[46] Lihat : Al-'Ightibath Fi Ma'rifati Man Rumiya Bil Ikhtilath, oleh Ibrahim bin Muhammad bin Sibth bin Al-'Ajami, ms.369, Percetakan Maktabah Al-Ma'arif –Taif-.

No comments:

Post a Comment